Sabtu, Julai 11, 2009

Para ASEAN V kurang RM600,000

Para ASEAN V kurang RM600,000
 
Oleh HISYAMMUDIN AYUB
sukan@utusan.com.my
 
KUALA LUMPUR - Penganjuran Sukan Para ASEAN V Kuala Lumpur 2009 masih lagi mengalami kekurangan dana sebanyak RM600,000 walaupun sudah mendapat geran kerajaan
sebanyak RM4 juta.
 
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2009 (KLAPGOC), Datuk Zainal Abu Zarin berkata, meskipun pihaknya telah mendapat geran berkenaan,
jumlah dana tersebut masih tidak mampu menampung segala perbelanjaan kejohanan.
 
Namun begitu katanya, pihaknya yakin mampu mengurangkan jurang kekurangan kewangan tersebut berdasarkan mesyuarat penyelerasan antara pihaknya dengan agensi
kerajaan dalam tempoh terdekat.
 
"Mesyuarat tersebut akan memberi peluang pihak kami untuk berbincang dengan agensi kerajaan dalam membantu menjayakan kejohanan ini dengan menghulurkan
bantuan.
 
"Ia bakal melibatkan perbincangan mengenai kadar sewa stadium atau venue kejohanan dan pengangkutan.
 
"Kami berharap perbincangan tersebut akan membuka ruang kepada agensi kerajaan menghulurkan bantuan untuk perkara tersebut, sekali gus dapat mengurangkan
perbelanjaan," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
 
Mengulas lanjut, Zainal Abu Zarin berkata, jumlah defisit itu disebabkan masih banyak penaja yang masih belum melunaskan janji mereka.
 
"Kami pada mulanya menjangka kekurangan RM1.2 juta, tetapi selepas beberapa penaja utama mengotakan janji, KLAPGOC masih belum mencapai sasaran sebenar,"
katanya.
 
Beliau berkata, cara terbaik mengurangkan perbelanjaan kejohanan tersebut adalah menerusi bantuan agensi-agensi kerajaan.
 
Jelasnya, jika pihak tersebut tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas perkhidmatan yang diberikan, ia akan mengurangkan bebanan pihaknya menganjurkan
sukan tersebut.
 
"Sebagai contoh mereka boleh tidak mengenakan sebarang bayaran penggunaan kesemua 11 venue, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan lain yang akan digunakan
KLAPGOC," katanya.
 
Selain itu katanya, KLAPGOC akan berbelanja secara berhemat seperti peralatan yang sepatutnya disewa akan dipinjam manakala yang perlu dibeli, diperolehi
melalui tajaan.

15 pelajar cacat ikuti pengajian di PUO

15 pelajar cacat ikuti pengajian di PUO
 
Mohd. Khair Saidin dan Mariani Mustafa bersama anak mereka, Fatin Fazleena pada hari pendaftaran pelajar baru di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, kelmarin.
 

--------------------------------------------------------------------------------
 
IPOH 8 Julai - Seramai 15 pelajar cacat pendengaran dan bisu antara 1,300 pelajar baru yang mendaftar mengikuti pengajian peringkat diploma dan sijil di
Politeknik Ungku Omar (PUO) bagi sesi Julai 2009 di sini.
 
Pengarah PUO, Mohd. Jayus Bunasir berkata, empat pelajar perempuan dan 11 pelajar lelaki terbabit akan melanjutkan pelajaran di peringkat program Diploma
Kejuruteraan Awam (DKA) dan Sijil Kejuruteraan Awam.
 
''Kita mempunyai pensyarah yang berkebolehan bagi mengajar pelajar-pelajar istimewa ini mengikuti pengajian program masing-masing,'' katanya di sini semalam.
 
Menurut Mohd. Jayus, pendaftaran pelajar baru yang diadakan itu berjalan lancar dan PUO juga mendapatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Perak mengadakan ujian
saringan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).
 
''Setakat ini tiada pelajar yang dikesan membawa wabak tersebut dan keadaan pelajar di sini terkawal," katanya.
 
Sementara itu, seorang pelajar cacat pertuturan, Fatin Fazleena Mohd. Khair, 18, berkata, dia gembira mendapat tawaran melanjutkan pengajian peringkat Diploma
Kejuruteraan Awam di PUO.
 
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Alor Setar, Kedah itu berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan yang diharapkan.
 

''Saya yakin boleh mencapainya kerana sokongan daripada keluarga saya," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.
 
Seorang lagi pelajar, Che Norahimi Che Hassan, 18, dari Kuala Lumpur yang mengikuti pengajian peringkat Sijil Kejuruteraan Awam pula berkata, dia mendapat
sokongan keluarga untuk melanjutkan pengajian di politeknik itu.
 
''Saya akan berusaha untuk membuktikan kami juga boleh berjaya jika berusaha,'' katanya.

Zul Amirul sasar tiga emas pada KL'09

Zul Amirul sasar tiga emas pada KL'09
 
ATLET paralimpik negara gigih menjalani latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.
 
--------------------------------------------------------------------------------
 
KUALA LUMPUR - Atlet renang Paralimpik negara, Zul Amirul Sidi Abdullah menyasarkan tiga emas dalam Sukan Para ASEAN V (KL'09) yang akan berlangsung di
Kuala Lumpur bulan depan.
 
Walaupun menyedari bakal berdepan saingan sengit, Zul Amirul optimis dan yakin dapat beraksi cemerlang untuk mengharumkan nama negara.
 
"Persediaan setakat ini berjalan dengan lancar. Saya berharap saya mampu memberi kilauan emas buat negara.
 
"Tunjuk ajar dan sokongan daripada jurulatih banyak membantu saya untuk memperbaiki mutu renangan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
 
Zul Amirul sebelum ini pernah beraksi pada peringkat akhir acara kuak lentang lelaki S5 di Kejohanan Sukan Paralimpik Beijing 2008.
 
Walaupun tidak meraih sebarang pingat, dia tetap bersemangat untuk melakukan yang terbaik.
 
Pada saingan peringkat akhir di Beijing tahun lalu, Zul Amirul mencatat 42.94 saat berbanding 42.87s yang dilakukan di Sukan ASEAN IV di Korat, Thailand
awal tahun yang sama.
 
Pingat emas acara itu dimenangi atlet dari Brazil, Daniel Dias dengan catatan 35.28 saat, 0.15 saat lebih pantas daripada juara bertahan, perenang tuan
rumah, He Jungquan yang mencatat 35.43s untuk pingat perak manakala gangsa menjadi milik Zsolt Vereczkei dari Hungary dengan 38.78s.
 
Mengulas lanjut mengenai kejohanan yang bakal disertai bulan depan, Zul Amirul memberitahu dia akan menyertai tiga acara iaitu 50m gaya bebas, 100 meter
gaya bebas dan 200m gaya bebas.
 
"Saingan pastinya dari negara seperti Thailand, Laos dan Vietnam.
 
"Saya cukup bersedia untuk menggalas cabaran ini dan berharap kejayaan berpihak kepada saya," katanya.
 
Bagi ketua jurulatih negara, May Ang Seok Leng, prestasi konsisten yang ditunjukkan anak buahnya membuktikan mereka mempunyai peluang yang cerah untuk menyumbangkan
pingat untuk negara.
 
Skuad renang Paralimpik negara bakal menurunkan 35 orang perenang untuk menyahut cabaran dalam kejohanan tersebut.

Archieve